SEORANG lelaki maut dipercayai dibunuh isteri. FOTO Mary Victoria Dass
SEORANG lelaki maut dipercayai dibunuh isteri. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Lelaki ditemukan meninggal dunia di kediaman keluarga dipercayai dipukul isterinya di tingkat 3, Blok 14, Flat Nipah di Taman Daya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa, Lee Ming How, 44, ditemukan dalam keadaan terbaring.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 7.50 pagi di kediaman keluarga lelaki berkenaan yang turut dihuni isteri serta anak-anaknya.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul isterinya berusia 35 tahun hingga menyebabkan kematiannya.

"Anak mangsa yang berada di rumah berkenaan adalah saksi utama kejadian berkenaan.

"Polis masih siasat motif kejadian termasuk sama ada suspek menggunakan senjata.

"Isteri mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan polis turut memohon perintah reman," katanya.

Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, jiran mangsa yang hanya dikenali sebagai Seri, 25, berkata, sejak dua bulan lalu dia kerap mendengar bunyi bising dari kediaman mangsa.

Dia berkata, bagaimanapun dia kurang pasti sama ada keluarga berkenaan berdepan masalah tertentu.

"Mungkin mereka berselisih faham hingga terdengar bunyi seperti pintu dihempas dengan kuat, kerusi diheret dan sebagainya.

"Namun kami tidak sangka ia berakhir dengan tragedi. Difahamkan pasangan itu memiliki dua anak berusia dua dan 11 tahun," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 12:46 PM