Oleh Suliati Asri


SEMUA individu termasuk pesalah dan bekas pesalah perlu diberi peluang kedua dalam kehidupan mereka terutama pekerjaan dan bimbingan.

Justeru, semua pihak termasuk syarikat korporat perlu mengubah persepsi dan pendirian dalam menerima bekas pesalah terutama golongan belia untuk diterima bekerja, sekali gus mengurangkan kebergantungan dengan tenaga kerja asing.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, banyak tentangan diterima ketika mengetengahkan pemberian peluang kedua dan pekerjaan kepada individu berisiko kerana berpendapat pesalah atau bekas pesalah terutama golongan belia ini tidak perlu diberi peluang kedua apalagi bimbingan.

Katanya, kerajaan menerusi inisiatif Reben Kuning diperkenalkan pada 2018 dan diterajui kementeriannya dengan sokongan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mampu mengubah persepsi terhadap bekas pesalah, sekali gus menggerakkan usaha memberi peluang kepada mereka memperoleh latihan dan bekerja di industri.

SYED  Saddiq (kiri) bersama Dell Akbar (dua dari  kiri) melihat ODS yang bekerja dalam industri  di LRT 3 Casting Yard di  Bandar Saujana Putra.
SYED Saddiq (kiri) bersama Dell Akbar (dua dari kiri) melihat ODS yang bekerja dalam industri di LRT 3 Casting Yard di Bandar Saujana Putra.

“Program Reben Kuning ini menyasarkan golongan belia berisiko yang pernah melakukan kesilapan dan harus dibimbing supaya memastikan kesilapan tidak berulang supaya mereka ada masa depan cerah.

“Justeru, kerajaan mempelawa lebih banyak syarikat korporat dan sektor swasta terbabit dalam program sebegini seterusnya memberi peluang mereka kembali kepada masyarakat.

“Dengan inisiatif ini, ia membantu mengurangkan kebergantungan industri pembinaan dengan tenaga kerja asing,” katanya selepas melancarkan program PEKA@MRCB di Bandar Saujana Putra di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Datuk Dell Akbar Khan, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Pengarah Urusan MRCB, Imran Salim.

Program PEKA@MRCB sebahagian daripada inisiatif Reben Kuning dengan kerjasama Jabatan Penjara dan MRCB.

PEKA yang bermaksud Peluang Kedua Anda menyediakan peluang pekerjaan bagi pesalah terpilih yang hampir tamat menjalani tempoh hukuman mereka.

Pesalah ini yang dirujuk sebagai Orang Di Selia (ODS) dipilih Jabatan Penjara Malaysia selepas menjalani proses penilaian menyeluruh.

Dalam menuju kepada perubahan itu, kata Syed Saddiq ia bukan mudah kerana persepsi dan stigma negatif memang ada, tetapi ini tanggungjawab bersama.

ODS melakukan tugasan yang diberikan.
ODS melakukan tugasan yang diberikan.

“Saya gembira dan memberi penghormatan tertinggi kepada MRCB kerana menjadi syarikat pembinaan pertama memulakan program yang menumpukan kepada memberi peluang pekerjaan kepada bekas pesalah dalam industri pembinaan seterusnya memberi peluang kedua kepada ODS ini.

“Ia bukan mudah untuk mereka lakukan dengan pemikiran negatif yang sentiasa ada, tapi mereka berani melakukannya.

“Saya yakin dengan langkah berani diambil MRCB ini, akan ada lebih banyak lagi syarikat swasta turut serta,” katanya.

Syed Saddiq juga berharap lebih banyak syarikat korporat turut sama, sekali gus memberikan latihan dan peluang pekerjaan kepada bekas pesalah.

Sementara itu, Zulkifli berterima kasih kepada kerajaan dan KBS kerana menerusi pelaksanaan program PEKA@MRCB, ia memberi peluang kedua kepada bekas pesalah meneruskan kehidupan selain diterima masyarakat.


Katanya, pihaknya menerima permintaan yang banyak, tetapi mereka perlu mengikut beberapa proses tertentu dan memenuhi beberapa kriteriaditetapkan selain latihan khas.

“Sebelum ODS dilepaskan kepada masyarakat, mereka perlu melalui program pembangunan insan dan perlu mencapai 75 peratus tahap terbaik dalam tingkah laku.

“Selain itu, ODS yang disasarkan juga di hujung tempoh hukuman mereka iaitu tahun terakhir (12 bulan atau kurang) ditempatkan di Pusat Pemulihan Komuniti yang di terletak di satu daripada enam kem tentera,” katanya.

Dell Akbar pula berkata, industri pembinaan Malaysia dalam keadaan kritikal untuk memperoleh pekerja pembinaan yang mahir dan dengan ODS bekerja dalam sektor ini, pemaju dan syarikat pembinaan dapat mengisi kekurangan tenaga kerja.

Katanya, pekerjaan dalam sektor pembinaan sesuai untuk ODS kerana sebahagian besar daripada mereka ada kemahiran relevan manakala kepada yang lain, mereka boleh mempelajari kemahiran diperlukan majikan dalam industri pembinaan.


“Tanggungjawab asal ditugaskan kepada ODS seperti lenturan bar, pemotongan bar dan pengikat bar, di mana segala aktiviti ini digunakan sebagai asas menguatkan pembinaan konkrit.

“Antara fakta yang menarik, ada ODS mempunyai kemahiran lebih menonjol dan mereka melakukan tugasan yang lebih seperti kimpalan, penyusunan batu-bata serta penampalan, penyelenggaraan peralatan serta pembaikan mesin,” katanya.

Bagi fasa pertama, 30 ODS terbabit dalam program PEKA@MRCB dan memulakan kerja mereka pada 1 Ogos lalu manakala bagi fasa kedua 60 ODS memulakan kerja pada 2 Disember ini di dua lokasi ditetapkan MRCB.

Bagi setiap kumpulan dan lokasi pekerjaan, 30 ODS terbabit dengan seliaan empat orang warden Jabatan Penjara.

Mereka mendapat gaji bulanan minimum RM1,100, peruntukan kerja lebih masa, makanan harian, insurans, perlindungan perubatan dan peralatan perlindungan keselamatan.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 12:05 PM