Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) membuat laporan polis bagi mendesak satu siasatan dijalankan ke atas pembatalan surat niat (LOI) kontrak membekalkan kenderaan kerajaan.

Naib Pengerusi MKM Yuveraaj Pillai Kalidasan berkata, pihaknya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap seorang bekas Perdana Menteri berhubung pemberian satu tender projek kerajaan bernilai RM4.6 bilion.

Menurutnya, ia susulan dakwaan projek itu yang sepatutnya dianugerahkan kepada syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza namun dibatalkan dengan penamatan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV itu ketika bekas Perdana Menteri itu menerajui kerajaan.

"Laporan polis tampil membuat laporan polis susulan pendedahan isu berkenaan oleh Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, minggu lalu.

"Dalam kenyataannya, terdapat pendedahan bahawa konsortium dibentuk antara Berjaya dan Naza membuat tawaran bersama bagi Projek Perbekalan, Pembaikan dan Penelenggaraan Kenderaan Kerajaan iaitu Projek Fleet," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Yuveraaj berkata, Projek Fleet dianugerahkan kepada konsortium Berjaya-Naza melalui surat niat.

"Namun, Tan Sri Vincent Tan menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia pada masa itu membatalkan semula surat niat tanpa memberikan sebarang alasan.

"Projek itu kemudian dianugerahkan kepada sebuah syarikat lain, yang mana tawarannya berharga lebih mahal sebanyak RM700 juta," katanya.

YUVERAAJ (lima dari kiri) bersama ahli MKM menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. FOTO Eizairi Shamsudin
YUVERAAJ (lima dari kiri) bersama ahli MKM menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. FOTO Eizairi Shamsudin

Sehubungan itu, Yuveraaj berkata, pihaknya menggesa polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan siasatan berhubung perkara ini.

"Ini kerana menurut kenyataan Tan Sri Vincent Tan, Konsortium Berjaya-Naza menang tender kerana tawaran mereka adalah yang termurah di antara semua pihak yang menyertai tender.

"Khususnya, tawaran Konsortium Berjaya-Naza adalah RM700 juta lebih murah daripada nilai tender yang dianugerahkan kepada syarikat lain itu," katanya.

Dalam pada itu, katanya MKM sudah membuat laporan polis di 20 lokasi seluruh negara berhubung isu ini.

Terdahulu, BH melaporkan syarikat JV Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan LOI yang ditawarkan kepada JV itu.

Sebelum ini, syarikat JV Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap MoF kerana menamatkan surat niat (LOI) yang ditawarkan.

Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata, LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.

Dakwa Vincent, perkhidmatan JV ditamatkan dan diberikan kepada Spanco Sdn Bhd dengan perbelanjaan RM700 juta lebih tinggi berbanding bidaan JV.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 5:22 PM