Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Firdaus Ibrahim


Kuala Lumpur: Dengan hanya menjual nama EZ Qurban Sdn Bhd (EZ Qurban) seorang lelaki berjaya memperdaya penduduk Sungai Besar, dekat sini, sebelum melarikan RM61,250.

Wang berkenaan kononnya adalah bayaran bagi 25 ekor lembu yang akan dikorbankan sempena Aidiladha.

Bagaimanapun, lembu yang dijanjikan tidak muncul malah lelaki terbabit juga kini gagal dihubungi sebelum penduduk yang menyedari ditipu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besar, dekat sini, 8 Julai lalu.

Mengulas perkara berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban, Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, pihaknya juga sudah membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, pihaknya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan peserta yang ditipu lelaki terbabit.

"Lelaki itu hanya gunakan nama EZ Qurban dan memperdayakan mangsa. Ini perbuatan keji yang tidak bertanggungjawab.

"EZ Qurban tegaskan lelaki itu tidak pernah terbabit dalam mana-mana program kami apatah lagi menjadi ejen korban," katanya memaklumkan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sekali gus mengambil tindakan wajar terhadap penipu itu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadzlullah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya berhati-hati sebelum melakukan urusan korban.

Ahmad Fadzlullah selepas membuat laporan di Balai Polis Gombak susulan tindakan lelaki menipu orang ramai menggunakan nama EZ Qurban
Ahmad Fadzlullah selepas membuat laporan di Balai Polis Gombak susulan tindakan lelaki menipu orang ramai menggunakan nama EZ Qurban

"Untuk EZ Qurban, kami hanya menerima pembayaran dalam akaun rasmi EZ Qurban dan tidak pernah menerima sebarang tunai atau akaun bank lain.

"Orang ramai digalakkan menghubungi EZ Qurban di talian bebas tol 1-800-885-885 atau layari https://www.ezqurban.org/ jika terdapat sebarang keraguan.

"Malah dalam kes ini, jumlah satu bahagian daging korban lokal (Malaysia) yang ditawarkan lelaki itu sebanyak RM350 adalah sangat berbeza daripada yang kami tawarkan iaitu RM750," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 2:20 PM