TAPAK arkeologi Lembah Bujang, Kedah.
TAPAK arkeologi Lembah Bujang, Kedah.
Abnor Hamizam Abd Manap


DALAM usaha menambah pakar arkeologi, kerajaan disaran supaya membuka lebih banyak institusi arkeologi di Universiti Awam (UA) khususnya di universiti bertaraf RU (Research University) seterusnya lebih ramai graduan daripada latar belakang arkeologi yang berbeza dapat dilahirkan.

Pensyarah Kanan di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Suresh Narayanen berkata, ia berikutan negara masih kekurangan ahli arkeologi dalam pelbagai bidang berbeza.

Katanya sebagai contoh, di USM ada hanya lima ahli arkeologi dengan memiliki kepakaran dalam bidang kajian berbeza iaitu dari zaman prasejarah hingga zaman sejarah awal.

"Buat masa sekarang, kepakaran mereka cukup untuk menjalankan kajian di tapak arkeologi sedia ada, namun di masa akan datang lebih ramai pengkaji diperlukan untuk meneruskan kajian di tapak arkeologi lama dan baharu.

"Jadi, disebabkan itu, negara masih memerlukan lebih ramai ahli arkeologi pada masa akan datang kerana sekiranya timbul masalah kekurangan ahli arkeologi, negara kita perlu bergantung kepada pakar dari luar untuk menjalankan penyelidikan arkeologi.

"Situasi ini membawa kerugian besar kepada kerajaan kerana penyelidikan arkeologi memakan perbelanjaan yang banyak dan membabitkan penggunaan instrumen kajian yang mahal sama ada di tapak ataupun makmal.

"Kerjasama arkeologi bersama pihak luar, jika tidak dipantau dari awal, mempunyai risiko yang mana boleh berlaku manipulasi data, kecurian artifak serta tafsiran yang bersifat bias," katanya.

Kata beliau, berbanding 15 atau 20 tahun lalu, arkeologi kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat dan hal ini mungkin disebabkan tahap kesedaran dan minat terhadap arkeologi berada pada tahap yang rendah.

DR Suresh mencadangkan supaya lebih banyak institusi arkeologi di UA.
DR Suresh mencadangkan supaya lebih banyak institusi arkeologi di UA.

Bagaimanapun, pembabitan masyarakat dalam program atau aktiviti yang membabitkan arkeologi seperti program libat sama komuniti, pameran, ceramah, seminar dan forum menunjukkan ada minat dan kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat berkenaan arkeologi tempatan.

Jelasnya, pembabitan ramai anak muda menjadi sukarelawan dalam ekspedisi arkeologi dan membabitkan diri dalam kerja ekskavasi arkeologi membuktikan bidang ini semakin diminati.

"Peluang menyertai aktiviti ekskavasi bukan sahaja membantu mereka belajar teknik dan kaedah ekskavasi yang betul, tetapi sekali gus membawa kepada kesedaran dan minat untuk menjadi ahli arkeologi di masa depan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Suresh berkata, di negara ini masih banyak penyelidikan berkaitan arkeologi perlu dijalankan apatah lagi USM sendiri sudah membuktikan banyak penemuan berkaitan kehidupan dari pelbagai zaman.

PENEMUAN candi dan arca Buddha baru-baru ini oleh ahli arkeologi USM.
PENEMUAN candi dan arca Buddha baru-baru ini oleh ahli arkeologi USM.

Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa Semenanjung sudah menjadi tumpuan pedagang antarabangsa sejak akhir zaman Neolitik disebabkan kedudukan geostrategiknya yang terletak antara dua kuasa politik besar pada ketika itu iaitu India dan China.

"Penyelidikan arkeologi yang berterusan dapat mendedahkan lebih banyak bukti tinggalan manusia lampau dan penemuan arkeologi baharu sangat penting. Ia bagi memahami dan membina tafsiran serta naratif baharu yang lebih komprehensif dan holistik berkenaan struktur politik, sistem ekonomi, teknologi, hubungan perdagangan dan corak kebudayaan masyarakat awal di rantau ini.

"Sebagai contoh, tapak Bukit Choras yang dianggap tidak mempunyai potensi arkeologi sebelum ini menjadi begitu viral selepas penemuan candi dan arca Buddha baru-baru ini oleh ahli arkeologi USM.

"Penemuan ini sangat penting dalam menjawab persoalan berkenaan pengaruh Buddha di kawasan utara Semenanjung dan seni bina, teknologi dan hubung kaitnya dengan kerajaan lain yang sezaman dengannya iaitu pada abad sekitar 7 dan 8 Masihi AD.

"Penemuan ini juga boleh dijadikan produk arkeopelancongan bagi Kedah dan menarik lebih ramai pelancong dari luar serta dalam negara untuk datang melawat keunikkan tapak candi Buddha yang bertarikh sekitar 1,200 tahun dahulu. Ia juga dilihat mempunyai manfaat dan limpahan ekonomi kepada masyarakat tempatan bagi jangka panjang," katanya.

Mengulas mengenai bagaimana seseorang itu mahu menjadi ahli arkeologi Dr Suresh berkata, pelajar dari kedua-dua aliran iaitu sains dan sastera berpeluang menceburi arkeologi.

MASIH banyak penyelidikan berkaitan arkeologi perlu dijalankan.
MASIH banyak penyelidikan berkaitan arkeologi perlu dijalankan.

Katanya, arkeologi adalah bidang penyelidikan yang bersifat multidisiplin iaitu kombinasi beberapa disiplin ilmu seperti sains, sains sosial, sejarah, seni dan warisan.

"Justeru itu tiada halangan kepada mana-mana individu atau pelajar untuk menyertai arkeologi. Di USM misalnya, pelajar perlu mengikuti praktikal dan amali ketika berada pada peringkat pengajian prasiswazah sebelum meneruskan pengajian dalam arkeologi di peringkat pascasiswazah (ijazah sarjana dan doktor falsafah).

"Di Malaysia, selain USM ada beberapa UA yang menawarkan bidang pengajian arkeologi iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan bidang penyelidikan berbeza.

"Penyelidikan arkeologi oleh USM dan UKM lebih bertumpu kepada zaman prasejarah dan zaman protosejarah manakala UMT dan UMS berfokus pada arkeologi bawah air.

"Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) di USM adalah satu-satunya institusi yang menawarkan arkeologi sebagai subjek minor kepada pelajar prasiswazah. Selain itu, PPAG juga memiliki makmal saintifik canggih dan Galeri Arkeologi untuk mempamerkan penemuan arkeologi dari seluruh Malaysia," katanya.

ANTARA penemuan yang memerlukan lebih ramai pakar arkeologi tempatan.
ANTARA penemuan yang memerlukan lebih ramai pakar arkeologi tempatan.

Katanya, makmal pencirian bahan bumi PPAG adalah satu-satunya makmal khusus untuk penyelidikan arkeologi yang ada di Malaysia dan terbaik di Asia Tenggara.

Bidang arkeologi menawarkan laluan kerjaya yang luas kepada yang berminat khususnya pelajar yang ingin menceburi bidang arkeologi. Selepas pengajian mereka boleh berkhidmat sebagai pendidik misalnya sebagai pensyarah universiti, pegawai tadbir di jabatan kerajaan seperti Jabatan Warisan Negara, Jabatan Muzium Malaysia dan agensi lain berkaitan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Ahli arkeologi juga mempunyai peluang kerjaya di sektor swasta sebagai pegawai penyelidik, pegawai sains, pegawai konservasi, konsultan atau kurator dalam projek konsultansi membabitkan penyelidikan, pembangunan, pemeliharaan dan pemuliharaan tapak arkeologi di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2024 @ 6:20 PM