SEORANG suspek ditahan bagi membantu siasatan kes seorang warga China ditikam di Forest City, Tanjung Kupang. FOTO Ihsan PDRM
SEORANG suspek ditahan bagi membantu siasatan kes seorang warga China ditikam di Forest City, Tanjung Kupang. FOTO Ihsan PDRM
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Akibat berselisih faham, seorang lelaki warga China yang dalam keadaan mabuk bertindak menikam rakan serumah menggunakan pisau pemotong daging di Forest City di Tanjung Kupang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian berkenaan mangsa mengalami kecederaan di bahu dan lengan kiri.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan, polis menahan seorang lelaki warga China berusia 36 tahun yang dalam keadaan mabuk di rumah berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat pada jam 6.50 pagi daripada Polis Bantuan Forest City berkaitan kejadian.

Katanya, mangsa berasal dari negara sama berusia 34 tahun dan rakan serumah suspek.

"Kedua-dua mereka tidak bekerja dan tinggal berdua di rumah berkenaan.

"Sebelum kejadian, mangsa dan suspek berada di ruang tamu sambil minum minuman keras sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.

"Suspek yang naik angin bertindak mengambil pisau pemotong daging di dapur dan terus menikam mangsa di bahagian bahu dan lengan kiri mangsa," katanya.

Dzulkhairi berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil, " katanya menerusi kenyataan media.

Beliau berkata, polis juga turut merampas sebilah pisau pemotong daging berukuran 23 sentimeter yang digunakan bagi mencederakan mangsa.

"Suspek ditahan reman selama dua minggu mulai hari ini sehingga 14 Julai depan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ( Akta 155) kerana tinggal di Malaysia selepas permit tamat atau dibatalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:08 PM