TANGKAP layar video tular di media sosial susulan kejadian ribut di Kampung Jawa Prai. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di media sosial susulan kejadian ribut di Kampung Jawa Prai. FOTO tular
Audrey Dermawan


Butterworth: Sekurang-kurangnya empat rumah di Kampung Jawa Prai di sini, rosak selepas bumbung rumah diterbangkan angin kencang petang tadi yang disusuli ribut dan hujan lebat.

Dua daripada empat rumah di kampung berkenaan mengalami kerosakan dinding luar dalam kejadian yang berlaku sekitar 5 petang tadi.

Seorang penduduk kampung, Asrul Affendi berkata, tiga daripada empat rumah tidak berpenghuni, sementara keluarga dari rumah satu lagi tinggal di rumah lain.

Bagaimanapun, kejadian tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

"Kejadian berlaku dengan cepat...dalam tempoh kurang lima minit. Angin kuat habis menerbangkan bumbung zink empat rumah.

"Nasib baik, keluarga berjaya menyelamatkan diri selepas mereka menyedari bumbung rumah diterbangkan oleh ribut," katanya sambil menambah keluarga terbabit tumpang berteduh di rumah saudara di Prai.

Terdahulu, video rakaman berdurasi 20 saat menunjukkan ribut menerbangkan bumbung zink, itu tular di media sosial.

Ketika kejadian berlaku, terdapat sebuah keluarga yang menjalankan aqiqah dan kenduri kesyukuran di kampung sama turut mengalami detik cemas.

Selain bumbung, ribut juga menerbangkan khemah kenduri sehingga tersangkut di atas pokok kelapa berhampiran kediaman mereka.

Ketika kejadian itu, terdapat 30 hadirin yang sedang menjamu selera. Namun, tiada kecederaan berlaku.

Menurut Muhamad Hafiz Abdul Halim, 35, kenduri berlangsung di rumah kakaknya apabila angin kuat melanda dan khemah kenduri diterbangkan kira-kira paras pokok kepala setinggi 20 meter, di hadapan rumah.

"Keadaan bertukar huru-hara dan tetamu yang hadir termasuk anggota keluarga lintang-pukang melarikan diri ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Alhamdulillah, semua tidak cedera," katanya.

Menceritakan detik cemas ketika itu, dia berkata kejadian berlaku sangat pantas dan kesemua makanan serta minuman bertaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 10:59 PM