Noorazura Abdul Rahman


Baling: Penduduk Kampung Iboi menggesa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menyegerakan kerja baik pulih dan pembangunan semula infrastruktur yang rosak di kampung itu akibat kejadian banjir puing setahun lalu.

Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain, berkata pihaknya mengenal pasti 32 masalah yang belum diselesaikan, namun 23 daripadanya perlu diberi keutamaan.

Katanya, terdapat sebahagian daripada projek naik taraf dan pembangunan sudah diluluskan kerajaan.

"Paling utama adalah kerajaan perlu mewartakan kawasan tadahan air di kaki Gunung Inas yang menjadi sumber air utama penduduk kampung.

"Sekiranya tidak diwartakan, kami bimbang ia akan diceroboh oleh pihak tertentu menyebabkan bekalan air masyarakat terputus," katanya ketika ditemui pada Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi berhampiran Jambatan Bailey di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Nor Mohamad berkata kemudahan lain yang perlu diberi perhatian segera adalah penurapan jalan dan pemasangan tiang elektrik di Lata Chelak serta membaik-pulih kawasan perkelahan itu.

Katanya, pemasangan sistem amaran awal bencana di kaki Gunung Inas juga perlu disegerakan berikutan kebanyakan penduduk masih trauma dengan kejadian itu.

"Ada rumah yang rosak belum dibaik pulih termasuk bekalan air Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu dinaik taraf selepas sering berlaku gangguan bekalan air berkenaan.

"Selain itu, kami mohon agar kerajaan dapat mempercepatkan proses pembinaan empangan sabo agar ia dapat memperlahan dan menampung aliran puing sekiranya berlaku kepala air selepas ini," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata perkara itu memerlukan koordinasi membabitkan semua agensi dalam Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan usaha pembangunan semula di kampung dan kawasan sekitar yang terjejas dapat diselesaikan segera.

"Bila tak ada koordinasi akhirnya penduduk kampung jadi mangsa dan tertinggal perkara-perkara yang sepatutnya diselesaikan.

"Kalau tak boleh selesai semua dalam masa tujuh bulan ini, mungkin boleh selesaikan dulu lapan atau sembilan perkara," katanya yang berjanji membawa perkara itu kepada perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 8:51 PM