Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan mengarahkan Lembaga Tabung Haji (TH) menyiasat dakwaan mengatakan bakal jemaah haji menipu status kesihatan semata-mata untuk mengerjakan ibadah itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu akan disiasat terlebih dulu sama ada benar atau tidak.

"Perkara itu (dakwaan jemaah haji menipu status kesihatan) sudah dalam pengetahuan pihak berwajib dan saya sudah mengarahkan TH supaya menyiasat perkara ini.

"Sehingga kini ianya belum disahkan kebenaran lagi dan kita akan menunggu maklum balas daripada TH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan segelintir bakal jemaah haji merahsiakan status sebenar tahap kesihatan sebelum ianya terbongkar di tanah suci.

Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan faktor tempat baharu dan cuaca di tanah suci turut menyumbang kepada kesihatan bakal jemaah terjejas.

"Justeru, kita menasihatkan bakal jemaah yang sudah berlepas ke tanah suci dan mereka yang bakal berlepas supaya menyediakan bekalan ubat yang sepatutnya.

"Ia bagi memastikan tahap kesihatan bakal jemaah sentiasa baik sepanjang mengerjakan ibadah haji," katanya.

Terdahulu, Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan kepada 13 keluarga dalam kawasan Parlimen Pengkalan Chepa membabitkan nilai keseluruhan RM20,000.

Mereka yang menerima sumbangan disebabkan kediaman rosak akibat dilanda ribut dan musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 1:02 PM