Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kerajaan akan meneruskan untuk menanggung subsidi ibadah haji walaupun kosnya dijangka meningkat ekoran cukai yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan mengekalkan peratusan subsidi yang dibiayai selama ini.

"Kos subsidi yang akan ditanggung kerajaan itu belum diputuskan lagi, namun peratusannya akan kekal seperti sebelum ini.

"Kos ibadah haji yang sebenar juga belum diputuskan kerajaan dan kemungkinan ia akan meningkat berikutan Kerajaan Arab Saudi yang menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus. Ia berikutan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19 apabila bilangan jemaah terpaksa dihadkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Seramai 337 pelajar terpilih dari Parlimen Pengkalan Chepa menerima bantuan berjumlah RM250 seorang.

AHMAD Marzuk ketika ditemui di Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Marzuk ketika ditemui di Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan juga akan memaklumkan kepada bakal jemaah dengan lebih awal jika kos haji meningkat.

Beliau berkata, sejak sekian lama kos haji tidak naik kerana kemampuan kerajaan dan kedudukan kewangan kukuh yang membolehkan kos itu ditanggung.

"Namun, kerajaan akan berusaha untuk memastikan peningkatan kos haji itu tidak akan membebankan bakal jemaah walaupun kos dijangka meningkat lebih RM30,000, berbanding RM24,000 sebelum ini, dan jemaah hanya perlu membayar RM9,900 sahaja.

"Sebelum ini juga, kerajaan menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 hingga RM500 juta setahun.

"Manakala, bagi kos umrah, kerajaan tidak akan menanggung subsidi kerana ia bergantung kepada kemampuan bakal jemaah," katanya.

Media semalam melaporkan, Tabung Haji (TH) menjangkakan kos haji akan meningkat pada musim haji akan datang susulan perubahan SOP ibadah itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dilapor berkata, peningkatan kos itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 12:52 PM