IDRIS Ahmad (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Sharizan Shahrudin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada  Mangsa Banjir Warga Agensi Hal Ehwal Agama. FOTO Samadi Ahmad
IDRIS Ahmad (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Sharizan Shahrudin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Warga Agensi Hal Ehwal Agama. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kesal dengan tindakan jemaah umrah memalsukan sijil vaksinasi untuk menunaikan umrah di Makkah, baru-baru ini.

Menterinya, Idris Ahmad berkata, jemaah umrah perlu jujur serta mengikut peraturan ditetapkan dalam usaha kerajaan menangani penularan Covid-19.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menyiasat perkara itu apabila segelintir jemaah boleh terlepas mengerjakan umrah tanpa mendapatkan vaksinasi.

"Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku terutama bagi mengerjakan ibadah ke Tanah Suci, sekiranya sumber kewangan digunakan untuk ke sana perlu halal, apatah lagi memalsukan sijil vaksinasi.

"Kita akan panggil penganjur terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut kenapa perkara ini boleh terjadi dan tindakan ke atas syarikat atau menyenarai hitam adalah di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Yusoff.

Jumlah sumbangan adalah RM338,000 membabitkan seramai 338 kakitangan di bawah agensi Hal Ehwal Agama.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan terdapat jemaah umrah dari Malaysia yang pulang ke tanah air disahkan positif Covid-19 varian Omicron dan cukup mengejutkan apabila ada di antara mereka tidak divaksinasi.

Idris berkata, pihaknya tidak menjangka perkara itu boleh berlaku dan akan mengadakan program pendidikan kepada semua pihak agar situasi sama tidak berulang.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu dan berharap ia tidak mencemarkan nama baik Malaysia dari segi penganjuran ibadah haji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 5:19 PM