LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Keadaan aliran air Sungai Chandong Pulau Indah di Pelabuhan Klang yang dilaporkan bertukar warna merah sudah kembali normal berikutan kejadian air pasang yang berlaku sepanjang hari.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terdahulu menerima maklumat daripada orang awam susulan kejadian itu sekitar jam 5 petang semalam.

"LUAS tiba di lokasi pada jam 8 malam dan mendapati air masih pasang manakala aliran sungai juga sudah kembali normal (tidak berwarna merah).

"Justeru kita percaya insiden berkenaan berlaku pada awal pagi dan hasil daripada maklumat orang awam mengesyaki terdapat aktiviti pembuangan efluen di kawasan perindustrian Pulau Indah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, LUAS juga mengesan dan menemukan lokasi bermula efluen berwarna merah itu yang mana terdapat cecair berwarna merah di dalam longkang berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang.

"Cecair berwarna itu dipercayai dilepaskan ke dalam longkang dan mengalir masuk ke kawasan kolam tadahan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seterusnya memasuki Sungai Chandong.

"Anggaran jarak longkang berkenaan ke lokasi pencemaran adalah sekitar 1.32 kilometer (km)," katanya.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata penelitian LUAS mendapati insiden itu disebabkan oleh perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang bahan buangan ke dalam longkang berikutan tiada penemuan punca aliran berwarna merah ini.

"Pensampelan juga sudah dijalankan untuk dianalisis di makmal bagi mengenalpasti kualiti dan kandungan pencemaran terbabit.

"Pihak LUAS akan bekerjasama dengan penduduk sekitar untuk mengenal pasti pelaku dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Terdahulu, insiden air sungai berkenaan bertukar warna merah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warga maya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 5:45 PM