LUAS mengesan aliran air berwarna putih dan berbau seakan-akan klorin di Sungai Langat. FOTO Ihsan Luas
LUAS mengesan aliran air berwarna putih dan berbau seakan-akan klorin di Sungai Langat. FOTO Ihsan Luas
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan aliran air sungai berwarna putih dan bau seakan-akan klorin di kawasan Sungai Langat petang tadi.

Aliran itu dikesan susulan maklumat yang diterima dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang memaklumkan insiden berkenaan pada 3.30 petang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan Luas mendapati punca insiden aliran air berwarna putih adalah disebabkan terdapat pelepasan efluen daripada sump milik sebuah premis kilang di Kajang.

"Pengaktifan Kod Kuning selaras dengan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor melibatkan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Luas sudah menjalankan tiga pensampelan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu Luas mengeluarkan arahan kepada premis berdasarkan Seksyen 121 (1) Enakmen Luas 1999 supaya menghentikan segera pelepasan efluen yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai.

Katanya, kilang terbabit diarah melaksanakan kerja pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.

"Kertas siasatan terhadap insiden berkenaan dibuka mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen Luas 1999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 11:45 PM