WAN Zainab menunjukkan gambar abang iparnya, Mohammad Ismail yang ditemui selamat. FOTO Rosli Ilham
WAN Zainab menunjukkan gambar abang iparnya, Mohammad Ismail yang ditemui selamat. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Marang: "Saya pada mulanya menyangkakan dia tiada harapan untuk ditemui," kata Wan Zainab Wan Mohamad yang mengucap syukur selepas abang iparnya yang merupakan tekong bot ditemui selamat, semalam.

Mohammad Ismail, 50, ditemui dalam keadaan tidak bermaya pada jarak sejauh 10 kilometer dari tempat botnya karam, kira-kira jam 11 pagi.

Wan Zainab, 35, berkata, abangnya itu keluar mencandat sotong pada malam jumaat bersama tiga rakannya dari Kuala Marang menuju ke perairan Chendering.

"Dua jam selepas itu, bot mereka karam akibat dipukul ribut dan ombak besar yang menyebabkan kesemua mereka tercampak ke dalam laut.

"Kejadian itu disedari nelayan lain yang keluar mencari mereka sebelum berjaya menyelamatkan tiga rakannya itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rhu Rendang Marang, hari ini.

Bagaimanapun, katanya abangnya gagal ditemui sebelum gerakan mencarinya disambung semula jam 8 pagi semalam.

"Abang berjaya ditemui kira-kira jam 11 pagi dalam keadaan tidak bermaya dan dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia LKIM Marang sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu HSNZ.

"Dia terpaksa ditahan di wad hospital kerana paru-parunya dimasuki air dan petang ini keadaan stabil," katanya.

Katanya, abang iparnya itu memaklumkan dia sempat memakai jaket keselamatan dan bergantung pada tong ikan sepanjang 12 jam hanyut di laut.

"Abang kata, dia dah tiada kudrat dan upaya hanya berserah kepada tuhan dan jika dia lambat diberi bantuan, sudah tentu dia akan terkorban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 9:05 PM