ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di Sungai Rubana, di sini, hari ini.

Mangsa, Wan Azila Abdul Aziz, 27, dikatakan terjatuh ke sungai ketika bot dinaiki bersama abang iparnya cuba mengelak keladi bunting.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.48 petang.

Menurutnya, anggota yang turut mendapat bantuan BBP Kampung Gajah digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Mereka ke sungai itu untuk memancing sebelum mangsa dilaporkan terjatuh ketika bot dinaiki cuba mengelak keladi bunting di sekitar sungai.

"Abang ipar mangsa terjun ke sungai dan cuba menyelamatkan mangsa namun gagal," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Pusat Kawalan Bomba (PKB) dibuka di lokasi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan di tebing sungai ketika ini kerana keadaan gelap.

"Abang ipar mangsa selamat dan dihantar ke hospital oleh orang awam.

"SAR secara pencarian di permukaan akan diteruskan esok pagi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 10:34 PM