Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyerahkan sumbangan sebanyak RM200,400 kepada mangsa banjir di Kelantan, hari ini.

Sumbangan baucar tunai berkenaan diserahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup.

Majlis penyerahan itu disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Syed Hussian berkata, sumbangan berkenaan diberikan kepada 1,002 keluarga yang terjejas dalam banjir teruk di Pasir Mas, baru-baru ini dengan setiap keluarga menerima baucar tunai bernilai RM200.

Katanya, MPB sentiasa aktif menjalankan projek tanggungjawab sosial korporat dengan membantu mereka yang dilanda bencana serta bantuan perubatan kepada golongan kurang berkemampuan.

"Aktiviti CSR dapat dilaksanakan lebih-lebih lagi dengan sokongan kuat daripada orang ramai melalui sumbangan Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

"Sehingga kini, ratusan ribu rakyat Malaysia sudah menerima manfaat daripada sumbangan orang ramai ke tabung berkenaan," katanya pada majlis penyerahan baucar tunai berkenaan di Kota Darulnaim, di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar.

Beliau berkata, pembabitan Tabung Bencana NSTP-Media Prima di Kelantan bukanlah sesuatu yang asing dan pelbagai sumbangan sudah diberikan termasuk bantuan perubatan dan kit kebersihan serta bekalan makanan.

"Sebelum ini, Tabung Bencana NSTP-Media Prima sudah menyumbang untuk kerja-kerja pembaikan masjid yang dikenal pasti oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) pada 2015.

"Selain bantuan bencana, kami turut menyalurkan bantuan semasa tercetusnya pandemik Covid-19 pada 2020 termasuk pembelian dan penyerahan mesin bantuan pernafasan, peralatan perubatan dan perlindungan diri kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Pada masa sama, Syed Hussian turut melakukan kunjungan hormat di pejabat Menteri Besar.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi membincangkan kerjasama antara MPB dengan kerajaan negeri.

Sementara itu, Said berkata, pihaknya berterima kasih kepada MPB yang prihatin apabila tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada MPB atas sumbangan dalam bentuk baucar tunai kepada mangsa banjir yang terjejas tahun ini.

"Ada keluarga terpaksa berdepan banjir dua hingga tiga kali setahun. Dengan bantuan daripada MPB, ia dapat mengurangkan beban yang dialami mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 4:34 PM
Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengadakan perjumpaaan selepas  menyaksikan Penyerahan replika cek bernilai RM200,400,00. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengadakan perjumpaaan selepas menyaksikan Penyerahan replika cek bernilai RM200,400,00. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR