Roselan Ab Malek

Temerloh: Media Prima Berhad (MPB) meneruskan tradisi menyantuni golongan memerlukan dengan membantu mangsa banjir di Mentakab yang sering dilanda banjir dan memerlukan bantuan, hari ini.

Menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima, MPB menyerahkan sumbangan berjumlah RM109,200 dalam bentuk baucar tunai kepada 394 keluarga di Taman Mentakab Indah, Mentakab yang terjejas akibat banjir pada tiap kali musim banjir.

Selain itu, MPB turut menyerahkan dua bot fiber berserta enjin dan troli kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Desa Bakti untuk persediaan menghadapi banjir.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, MPB akan terus meninjau keadaan terkini pasca banjir dan membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri lain yang terkesan.

"MPB sangat aktif dalam melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti membantu mereka yang berdepan bencana alam dan bantuan perubatan kepada golongan kurang berkemampuan.

"Aktiviti CSR ini dapat dilaksanakan dengan sokongan padu daripada orang ramai melalui sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima," katanya.

Sumbangan berkenaan diserahkan Syed Hussian kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Temerloh sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Desa Bakti, Abdul RahmanAwang.

Menurutnya, sehingga kini, ratusan ribu rakyat Malaysia menerima manfaat daripada sumbangan orang ramai ke Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

SYED Hussian Aljunid (tiga kiri) melihat bot fiber yang diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan &
SYED Hussian Aljunid (tiga kiri) melihat bot fiber yang diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan &

"Bagi pihak MPB, saya mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang memberi kepercayaan kepada kami untuk terus membantu dan menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

"MPB sentiasa beriltizam untuk terus menyumbang bakti kepada pemegang taruh yang memerlukan dan berharap usaha serta serahan sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang terkesan," katanya.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima melalui akaun Maybank 514105320757.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, bantuan itu amat bermakna bagi kira-kira 600 penduduk di kawasan ini kerana dapat meringankan beban mereka.

"Setiap kali musim banjir, kampung (Desa Bakti) ini dan taman perumahan sekitar sering dilanda banjir menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Permindahan Sementara (PPS) selain terputus hubungan.

"Oleh kerana kekurangan bot, ramai penduduk tidak dapat menyelamatkan barangan mereka," katanya.

Mangsa banjir, Shamsuddin Aroop, 66, berkata sumbangan bot berkenaan amat melegakan penduduk yang saban tahun mengalami banjir.

Katanya, dalam banjir pada tahun ini, air naik sehingga bumbung rumah dan tidak dapat menyelamatkan barang kecuali dokumen penting.

"Saya bersama keluarga terpaksa berpindah sehelai sepinggang ke PPS kerana air air naik dengan cepat dan berterima kasih kepada Media Prima yang menyumbangkan dua bot bagi kegunaan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 3:11 PM