Ahmad melawat kandang ternakan lembu di Kampung Bertam Ulu, Melaka. FOTO AMIR MAMAT
Ahmad melawat kandang ternakan lembu di Kampung Bertam Ulu, Melaka. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Kerajaan menghentikan serta-merta pengimportan lembu dari Thailand yang pada kebiasaannya dilakukan bagi memenuhi permintaan menjelang sambutan Aidiladha.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, langkah itu berikutan kebanyakan lembu diternak di negara berkenaan disahkan dijangkiti penyakit kulit kental berbonjol (LSD) yang boleh memudaratkan jika dibawa masuk ke negara ini.

Menurutnya, tindakan drastik kerajaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan lembu di negara ini dan umat Islam yang menjalankan ibadah korban kelak tidak perlu bimbang kerana haiwan ternakan itu masih mencukupi.

"Sepatutnya, setiap kali sambutan hari raya korban kita banyak mengimport lembu dari Thailand kerana keperluan dan permintaan yang cukup tinggi di negara ini, namun kali ini kita terpaksa menghentikannya kerana penularan LSD.

"Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan mengawasi di pintu sempadan untuk menghalang kemasukan lembu import dari Thailand serta beberapa negara yang disahkan mempunyai jangkitan LSD," katanya selepas mengadakan lawatan ke kandang ternakan lembu di Kampung Bertam Ulu, Cheng di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan di semua ladang ternakan lembu seluruh negara bagi memastikan haiwan itu bebas daripada wabak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 11:35 AM