Mardzuki menyerahkan replika kunci rumah kepada John dengan disaksikan Mohd Halim.
Mardzuki menyerahkan replika kunci rumah kepada John dengan disaksikan Mohd Halim.
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Veteran tentera yang kehilangan rumah dalam kebakaran di Kampung Balabakan, Jalan Pekan Nabalu, Tamparuli pada April lalu menerima kediaman baharu menerusi Program Jiwa Murni (PJM) Tentera Darat, semalam.

Penyerahan kunci rumah kepada Staf Sarjan (B) John Somudin disempurnakan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Mardzuki berkata, rumah baharu berkeluasan 900 kaki persegi itu dibina selepas rumah pesara tentera berkenaan musnah dalam kebakaran pada 12 April tahun lalu disebabkan litar pintas.

"Rumah itu dilengkapi empat bilik tidur dan dua bilik air dibina dengan kos keseluruhan RM62,000 mula dibina pada 25 Ogos tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 13 November lalu.

"Pembinaan rumah PJM ini membantu meringankan beban yang ditanggung veteran itu sejajar dengan Tonggak Ketiga Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga," katanya.

Hadir sama, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa dan Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.

Peruntukan pembinaan rumah berkenaan adalah sumbangan Panglima Tentera Darat, kerajaan negeri Sabah, wakil rakyat tempatan dan Tabung Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja.

Menurutnya, program itu turut memperkasa hubungan tentera dengan awam khususnya dengan Kerajaan Negeri Sabah yang diterjemahkan menerusi Tonggak Ke-5.

Katanya, ia sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kesiap siagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam membantu pihak berkuasa awam dan masyarakat.

 John bersama keluarganya di rumah baharu.
John bersama keluarganya di rumah baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 5:48 PM