DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dana bantuan membabitkan seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan persoalan mengenai siapa Exco terbabit perlu ditanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang mencabarnya dalam isu berkenaan sebelum ini.

"Saya baca Asmirul yang tulis cerita itu, kena tanya Asmirul. Saya tidak ada jawapan dan saya tidak terima cabaran dia (untuk dedahkan nama Exco terbabit).

"Cabaran dia tidak signifikan, buat apa saya hendak bising-bising. Biar agensi (SPRM) buat kerja dia, Asmirul nampak berlebihan apabila suruh orang bercakap, perkara ini kena tanya dia," katanya pada sidang media selepas selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang menyiasat satu kes membabitkan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah yang dikatakan turut membabitkan salah seorang Exco di bawah pimpinan Sanusi.

Berikutan itu, Asmirul yang juga bekas Exco Belia dan Sukan negeri mencabar Sanusi membuat kenyataan menafikan berlaku salah laku membabitkan Exco negeri terbabit dan turut mendedahkan siapa wakil rakyat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 2:06 PM