MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak menyiasat seorang individu yang didakwa menjadi pelobi kepada sebuah syarikat bagi mendapatkan konsesi rawatan air di Kedah.

Menteri Besar Kedah itu berkata, agensi itu sepatutnya memfokuskan siasatan terhadap individu terbabit dan bukannya ke atas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Jelasnya, kejadian ini bermula apabila syarikat yang mendapat konsesi rawatan air tiga tahun lalu, cuba melobi kerajaan negeri melanjutkan tempoh kosensi berkenaan.

"Bagaimanapun, tiada rundingan terus dibuat (antara pelobi dan kerajaan negeri) dan kita tak tahu apa dia janji kepada syarikat.

"Mereka (SPRM) patut tahan orang yang tipu syarikat itu, bukan tiga orang itu (suspek yang direman Jumaat lalu).

"Mereka ditahan dan dimalukan di khalayak ramai kerana mereka kawan saya. Tujuan mereka hanya untuk burukkan saya," katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) memberikan konsesi mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah pada sebuah syarikat pada awal 2020.

Bagaimanapun, kerajaan negeri memutuskan konsesi yang tamat tahun lalu, tidak dilanjutkan bagi membolehkan kerja terbabit diuruskan sepenuhnya agensi negeri.

Jumaat lalu, SPRM menahan reman ketua pegawai eksekutif KFA dan tiga individu lain termasuk dua perunding berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 9:30 AM