Najib Razak ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini selepas sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. FOTO BERNAMA
Najib Razak ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini selepas sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. FOTO BERNAMA
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siti Zauyah yang memberikan keterangan sebagai saksi ke-26 pendakwaan berkata, dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) selain 1MDB, menteri kewangan tidak terbabit secara langsung.

"Saya sahkan, dalam syarikat MKD yang lain, hal seperti ini tidak berlaku," katanya ketika membacakan penyataan saksinya.

Menurut saksi itu, tiada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan atau daripada bahagian MKD dilantik untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam 1MDB.

Sementara itu. Siti Zauyah berkata bidang kuasa MKD secara jelas dinyatakan di dalam Undang-Undang Malaysia, Akta 375, Akta Menteri Kewangan (Diperbadankan) 1957.

Beliau berkata seksyen 3 (1) akta itu menyatakan, menteri kewangan bertanggungjawab dalam hal kewangan atas nama badan korporat dibawah MKD, oleh itu mengikut seksyen 3(2) akta sama, ia boleh menyaman dan disaman.

Katanya, apabila terdapat satu dokumen atau apa-apa resolusi, persetujuan atau arahan yang dibuat oleh seseorang Menteri Kewangan (Diperbadankan) kepada sesebuah syarikat MKD, ia dianggap sah dan adalah satu bentuk kelulusan.

"Selain itu, MKD sebagai pemegang saham tunggal kepada sebuah syarikat milik Kerajaan adalah tertakluk kepada Akta 125, Akta Syarikat 1965. Oleh demikian, kuasa MKD sebagai pemegang saham tertakluk juga kepada perincian di dalam akta syarikat berkenaan," katanya.

Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 2:39 PM