IZHAM Hashim (tengah) dan Dr Mohamad Khairil (dua dari kiri) ketika program penuaian jagung bijirin di Kuala Langat Selatan.
IZHAM Hashim (tengah) dan Dr Mohamad Khairil (dua dari kiri) ketika program penuaian jagung bijirin di Kuala Langat Selatan.
Norzamira Che Noh


HASIL tuaian pertama ladang jagung bijirin dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kuala Langat Selatan baru-baru ini mendapat permintaan tinggi dan memberangsangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, permintaan tinggi itu diterima daripada penternak kecil dan pemain industri makanan ternakan khususnya di sekitar Selangor.

Katanya, respon luar biasa yang diterima disebabkan harga jualan PKPS lebih rendah berbanding harga jagung import.

"Memandangkan kos penghasilan per ekar lebih rendah, PKPS memberi jaminan harga jualan ditawar sekitar RM100 hingga RM250 per tan lebih murah berbanding jagung import.

"Justeru, PKPS akan mempercepatpenanaman baki 104 hektar (258 ekar) bagi memenuhi permintaan pasaran yang memberangsangkan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Projek Jagung Bijirin PKPS adalah usaha sama strategik antara kerajaan Selangor dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi dana sekuriti makanan KKDW RM4 juta.

Dr Mohamad Khairil berkata, PKPS sebagai agensi pelaksana mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan negeri dan KKDW yang meletak kepercayaantinggi kepada agensi berkenaan dan KKDW selaku penyumbang dana utama yang optimistik terhadap kebolehlaksanaan projek itu.

"Untuk makluman, KKDW bersetuju menambah peruntukan RM8 juta untuk pembangunan sebuah lagi ladang jagung bijirin atas tanah milik PKPS di Rawang seluas 40.5 hektar (100 ekar).

"Tuaian kedua untuk ladang jagung bijirin PKPS di Kuala Langat dijangka pada April depan sebanyak 61 ekar dengan unjuran tuaian 152 tan," katanya.

Media baru-baru ini melaporkan, kerajaan negeri menerusi PKPS menuai 118 tan hasil pertama jagung bijirin berkualiti tinggi mula ditanam tahun lalu.

Exco Pertanian Negeri, Ir Izham Hashim berkata, tuaian pertama itu membabitkan kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar ladang di Kuala Langat Selatan.

"Julung kali dalam sejarah, Selangor tanam jagung bijirin di tanah gambut dan inilah hasil Pelan Transformasi Agro Selangor dengan kerjasama PKPS yang meletak penanaman ini sebagai agenda penting kerana menjadi bahan utama dalam makanan ayam.

"Justeru, untuk tuaian fasa pertama ini 118 tan hasil diperoleh dengan kos RM970 setiap tan berbanding harga import sejumlah RM1,200 per tan (tidak termasuk pengangkutan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 6:40 AM