Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Ijazah Doktoe Falsafah dan Penerima Anugerah Graduan Terbaik 2022 sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Ijazah Doktoe Falsafah dan Penerima Anugerah Graduan Terbaik 2022 sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti dalam setiap jiwa mahasiswa.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah, usaha untuk memperkukuhkan integriti nasional dan etika amalan kerja yang baik oleh setiap warganegara hendaklah dipupuk serta dibentuk di setiap bilik dan dewan syarahan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

"Pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat Malaysia, bermula dari bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.

"Sesungguhnya, prasyarat bagi kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada masyarakat dan tenaga kerja yang jujur, amanah dan berintegriti," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Al-Sultan Abdullah bertitah supaya graduan sentiasa merebut segala peluang pekerjaan yang ada dan sentiasa berusaha ke arah kebaikan serta hendaklah jujur pada sebilang masa.

Titah baginda, agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.

"Sejarah kerap kali membuktikan bahawa jatuh atau bangunnya sesebuah negara adalah berkait rapat dengan sikap jujur, amanah dan integriti seperti dalam catatan sejarah melayu "Sulatus Al-Salatin.

"Tun Sri Lanang meriwayatkan bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya akibat perbuatan rasuah Bendahara Seri Maharaja," tegas baginda.

Istiadat Konvokesyen yang berlangsung secara bersemuka bermula hari ini hingga 6 Julai ini menyaksikan seramai 27,287 keseluruhan graduan akan menerima ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.

Sidang pertama istiadat turut menyaksikan Al-Sultan Abdullah menganugerahkan ljazah Doktor Falsafah kepada 89 graduan dalam pelbagai bidang dan 14 orang penerima Anugerah Graduan

Terbaik tahun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 2:13 PM