Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang tukang cat rumah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah pada 2018.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabri Hamzah, 49, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam alasan penghakiman, mahkamah mendapati tertuduh mempunyai pengetahuan berhubung dadah itu.

"Tertuduh cemas ketika diserbu pihak polis dan cuba melarikan diri.

"Alasan tertuduh mahu mengambil sarang burung di belakang rumah adalah tidak munasabah," katanya.

"Di atas sabitan itu, tertuduh dihukum mati iaitu digantung hingga mati dan barang kes dilupuskan," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 186.43 gram methamphetamine di kawasan semak belakang rumah tidak bernombor di Kampung Tasik Hulu, Gual Sitok, Rantau Panjang, jam 7 petang, pada 31 Januari 2018.

SABRI dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SABRI dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.

Muhammad Hasif dalam rayuannya berkata, tertuduh yang mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 17 tahun itu kesal dengan kesilapannya itu dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 3:04 PM