Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Buruh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas disabitkan bersalah atas tuduhan mengedar dadah pada April 2017.

Tertuduh, Khairol Anuar Zakaria, 38, kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,227.9 gram bertempat di sebuah rumah di Kampung Dangar, dekat Rantau Panjang, jam 2.55 petang pada 17 April 2017.

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shaharaliza Ab Razak, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.

Dalam penghujahan terakhir Ahmad Nizam memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan sebagai memberi peluang kedua memandangkan anak guamnya sudah insaf dan menyedari kesalahannya.

KHAIROL Anuar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KHAIROL Anuar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bagaimanapun, Shaharaliza mengemukakan hujah balas dengan merujuk keputusan terdahulu dalam kes yang sama dan hukuman dikenakan.

Mohamad Abazafree berkata, mahkamah menimbang setiap aspek sepanjang perbicaraan termasuk mengambil kira keterangan saksi-saksi serta eksibit.

"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Oleh itu tertuduh dijatuhi hukuman mati dan selepas ini akan ditahan sehingga masa yang ditetapkan. "Selepas itu akan digantung sampai mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 1:38 PM