Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Tindakan licik penyeludup membawa 21,600 botol cecair vape bernilai RM1.18 juta menggunakan lori sebuah syarikat kurier dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Pos Simpangan, Tumpat, semalam.

Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Hakemal Hawari, berkata ketika kejadian anggota bertugas menahan lori terbabit yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 34 tahun.

Katanya, ketika pemeriksaan sedang dijalankan, anggota didatangi seorang lelaki berusia 20 tahun yang mengaku sebagai penerima barangan di dalam lori berkenaan.

"Sebaik pemeriksaan dilakukan, didapati terdapat beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi botol dipercayai berisi cecair vape. Kesemua barangan berkenaan disyaki untuk diseludup ke Thailand.

"Anggota kemudian merampas lori dan barangan selain menahan dua lelaki berkenaan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bagi tindakan lanjut.

"Kesemua cecair vape kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk disiasat dibawah Seksyen 6 Akta Racun 1952," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Stol, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Pemerintah PGA8, Superitenden Mat Shukor Yusof dan Penolong Pegawai Pemerintah PGA8, Deputi Superintendan K Ramesh.

Dalam perkembangan sama, Hakemal turut berkongsi kejayaan PGA8 merampas 8,800 unit rokok elektronik bernilai RM220,000 di pangkalan haram Pok Leh, Kampung Tualang, Tumpat, semalam, pada jam 3.30 petang

ASISTEN Komisioner  Hakemal Hawari, (dua dari kanan) menunjukkan cecair vape yang dirampas anggota PGA8 di Pos Simpangan, Tumpat, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
ASISTEN Komisioner Hakemal Hawari, (dua dari kanan) menunjukkan cecair vape yang dirampas anggota PGA8 di Pos Simpangan, Tumpat, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Semasa membuat rondaan anggota terserempak dua lelaki sedang memunggah kotak ke dalam perahu sebelum mereka bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota bertugas.

"Pemeriksaan pada kotak berkenaan mendapati terdapat kesemua rokok elektronik berkenaan yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran. Anggota kemudia merampas barangan terbabit untuk dibawa ke IPD Tumpat bagi siasatan lanjut.

"Barangan rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya .

Tambahnya lagi, sepanjang penugasan Ops Wawasan Kelantan dibawah kepimpinan PGA8 bermula 26 Mei sehingga hari, pihaknya berjaya menumpaskan 48 kes bernilai lebih RM5.9 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 3:27 PM