Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Permintaan tinggi terhadap haiwan eksotik dan peliharaan antara faktor mendorong berlakunya penyeludupan haiwan berkenaan di sempadan negara di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, pihaknya mengesan kekerapan penyeludupan haiwan itu menerusi beberapa tangkapan yang dibuat dalam tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, haiwan dibawa masuk dari Thailand disebabkan harga ditawarkan negara berkenaan lebih murah berbanding pasaran tempatan.

"Rampasan terbaharu pada 18 Ogos lalu, apabila PGA8 menumpaskan cubaan menyeludup 19 anak anjing bernilai RM66,000 di Pos Pok Teh Kana, Jeram Perdah di sini.

"Berdasarkan setiap kes, didapati semua haiwan yang diseludup bukan hanya untuk pasaran Kelantan tetapi negeri luar juga," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara PGA di Lubok Stol di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menumpaskan cubaan menyeludup kuda ketika mengambil alih tugas Ops Benteng Covid-19 bermula 16 Ogos lalu.

Sebelum ini, media melaporkan sejumlah haiwan eksotik seperti labi-labi, anak ular dan burung kakak tua bernilai RM67,600 ditinggalkan penyeludup di tebing Sungai Golok dekat pangkalan haram Bilah Dollah, di sini.

Dalam pada itu, Mat Shukor berkongsi kejayaan PGA8 menumpaskan 25 kes penyeludupan dalam tempoh 10 hari yang membabitkan nilai rampasan lebih RM1.2 juta.

Katanya, jumlah itu membabitkan lebih RM698,000 rampasan barangan seperti bongkah kayu sarang kelulut, karkas babi hutan, cecair vape, beras dan dadah, manakala RM526,000 lagi adalah kenderaan disita.

Mat Shukor Yusof,  menunjukkan gambar kuda yang dirampas anggota PGA8, di salah sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat, baru-baru ini.
Mat Shukor Yusof, menunjukkan gambar kuda yang dirampas anggota PGA8, di salah sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 1:18 PM