Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Kebanyakan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menceroboh sempadan negara menerusi pangkalan haram di Kelantan datang dari Myanmar.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia berdasarkan sejumlah 1,119 Pati yang ditahan sepanjang Ops Wawasan bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini.

Katanya, penahanan membabitkan 63 kes di tujuh daerah iaitu Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh, Gua Musang dan Kuala Krai.

Menurutnya, turut ditahan 111 tekong warga tempatan.

"Pati yang ditahan dari Thailand, Vietnam, Myanmar, India dan Bangladesh, namun berdasarkan maklumat diperoleh, majoriti mereka yang ditangkap dalam tempoh ini adalah dari Myanmar.

"Mereka ini disyaki memasuki secara tidak sah untuk bekerja di sektor perkilangan dan pembinaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ops Wawasan Kelantan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Stol, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Hakemal Hawari.

Muhamad Zaki berkata, semua agensi di bawahnya sentiasa merancang strategi baharu untuk membanteras aktiviti penyeludupan Pati memandangkan kelincahan penyeludup untuk mengelak dikesan.

"Namun modus operandi mereka sentiasa dapat dikesan, sekali gus membuktikan keberkesanan kawalan anggota bertugas terutama melalui Ops Wawasan di sempadan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kejayaan PGA7, PGA8 dan PGA9 dalam Ops Wawasan tahun ini menumpaskan pelbagai kes jenayah rentas sempadan dengan nilai rampasan lebih RM84 juta.

Selain itu, Muhamad Zaki menasihati orang ramai merancang untuk berkunjung ke negara jiran supaya lebih berhati-hati susulan pengeboman yang berlaku di wilayah selatan Thailand, pada 17 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 2:51 PM
Muhamad Zaki (dua kanan) menyaksikan penyerahan tugas daripada pegawai pemerintah PGA8 kepada PGA9 di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Stol. FOTO Syaherah Mustafa
Muhamad Zaki (dua kanan) menyaksikan penyerahan tugas daripada pegawai pemerintah PGA8 kepada PGA9 di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Stol. FOTO Syaherah Mustafa