Siti Rohana Idris


Tumpat: Tindakan seorang lelaki menjadikan rumah untuk menyimpan bekalan cecair peranti vape pelbagai jenama dan perisa mengundang padah apabila kediaman terletak di Taman Sri Bayu, di sini, diserbu pihak berkuasa, semalam.

Serbuan kira-kira 5 petang dalam Op Bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan berjaya merampas cecair vape dianggarkan bernilai RM150,000.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah yang dihuni seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai konsultan di sebuah firma guaman.

"Ketika serbuan, lelaki terbabit berada di dalam rumah sebelum pemeriksaan menemui sejumlah kotak mengandungi cecair vape pelbagai jenama dan perisa.

"Barangan itu dipercayai cuba diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok. Sejumlah lagi kotak turut ditemui di rumah sebelah yang disewa dengan tujuan sebagai transit," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, di sini, hari ini.

Amran berkata, lelaki itu memiliki premis menjual cecair vape dan mendapatkan barangan dari Lembah Klang.

Menurutnya, suspek turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan sama pada tahun lalu dan saringan ujian air kencing ke atas lelaki itu didapati negatif dadah.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 13A Akta Racun 1952.

Sementara itu, dalam operasi sama bermula 12 tengah hari hingga 6 petang, beberapa rampasan terhadap barangan lain turut dibuat dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM158,432.

Amran Dolah (tengah) menunjukkan cecair vape yang dirampas. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Amran Dolah (tengah) menunjukkan cecair vape yang dirampas. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Amran berkata, operasi membabitkan 16 kenderaan darat serta tiga bot itu bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

"Kami merampas ganja dan air ketum dengan nilai RM880 selain sembilan tong berisi petrol disyaki untuk diseludup ke Thailand ditemukan di Pangkalan Haram Tualang, Pengkalan Kubor dengan anggaran nilai RM553.50.

"Sebanyak 71 kampit beras Siam juga ditemukan di tebing Sungai Golok di Kuala Jambu dengan anggaran nilai RM6,229 namun tiada tangkapan dibuat," katanya memaklumkan operasi akan diteruskan pada masa depan bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan menjaga sempadan negara daripada sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 1:52 PM