Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 100 tan kelapa bernilai RM200,000 di dua lokasi berbeza di Tumpat selepas disyaki untuk diseludup melalui jalan sungai ke negara jiran.

Rampasan berkenaan adalah kes pertama membabitkan kelapa di kawalan Briged Tenggara yang berjaya dikesan anggota PGA8 masing-masing di pangkalan haram Simpangan serta Kampung Bunohan, Tumpat pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pegawai Pemerintah PGA8 Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, ia membabitkan rampasan tiga treler yang mana sebuah dirampas pada hari rampasan pertama, manakala dua lagi pada hari kedua.

"Hasil siasatan mendapati kesemua kelapa yang dirampas dibawa dari Johor dengan muatan yang banyak untuk satu perjalanan iaitu kira-kira 30 tan sehingga 40 tan bagi sebuah treler sebelum diserahkan kepada individu yang sedia menunggu di sempadan.

"Tiga pemandu berusia 28 sehingga 49 tahun turut ditahan dan mereka mendakwa tidak mengetahui aktiviti mereka itu menjadi suatu kesalahan.

"Kesemua treler ini membawa masuk kelapa ke pangkalan haram yang ditetapkan sebelum buah terbabit diseludup menggunakan perahu ke tebing negara jiran untuk dijual di sana," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Stol di sini, hari ini.

Mat Shukor berkata kesemua rampasan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk siasatan lanjut.

"Permintaan tinggi terhadap kelapa dari negara jiran menjadi antara faktor utama berlaku penyeludupan ini selain dipercayai harganya lebih mahal berbanding dari Malaysia," katanya.

PEGAWAI Pemerintah PGA8, Superitenden Mat Shukor Yusof menunjukkan rampasan 100 tan kelapa bernilai RM200,000 di dua lokasi berbeza. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEGAWAI Pemerintah PGA8, Superitenden Mat Shukor Yusof menunjukkan rampasan 100 tan kelapa bernilai RM200,000 di dua lokasi berbeza. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:56 PM