MUHAMAD Zaki (dua kanan) menunjukkan peluru dan barangan lain yang dirampas PGA9. FOTO Syaherah Mustafa.
MUHAMAD Zaki (dua kanan) menunjukkan peluru dan barangan lain yang dirampas PGA9. FOTO Syaherah Mustafa.
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menemui 69 butir peluru pelbagai jenis di Pangkalan Haram Pak Ngah, Pisau Raut, Kuala Jambu di Tumpat, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penemuan oleh anggota yang melakukan rondaan bermotosikal pada 12 tengah hari.

"Anggota menemui beg yang mencurigakan di kawasan semak berhampiran Sungai Golok dan pemeriksaan dilakukan menemui peluru itu bersama pil kuda, dadah jenis syabu serta ganja.

"Selepas tiada pihak datang menuntut, beg itu dirampas dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, pasukan sama turut merampas cecair vape dan cartridge bernilai lebih RM2.04 juta hasil serbuan di rumah di Taman Danhwa, Kampung Kebakat, Tumpat, 12.30 tengah malam Ahad lalu.

Katanya, ketika serbuan, seorang lelaki 34 tahun berada di rumah itu dan gagal mengemukakan dokumen milikan terhadap barangan.

"Anggota menahan suspek dan merampas kesemua cecair vape serta cartridge untuk dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat.

"Barangan dirampas diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 13 (A) Akta Racun 1953," katanya yang memberitahu barangan itu dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur untuk pasaran tempatan dan diseludup ke negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 2:40 PM