SOFYANK bersama idolanya, Zach King ketika memenangi pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, April lalu.
SOFYANK bersama idolanya, Zach King ketika memenangi pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, April lalu.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur : "Kalau ada impian dan nampak ia sangat mustahil untuk dicapai, buat saja sebab kita tak akan tahu jika tak mulakan langkah pertama."

Itu pegangan dan nasihat pempengaruh terkenal, Mohamad Sofian Abdullah, 27, atau dikenali sebagai Sofyank yang mencipta nama serta mengharumkan nama negara dengan hasil karyanya sebagai pencipta kandungan digital VFX atau kesan visual.

Mengimbas perjalanannya sepanjang tahun ini, Sofyank bersyukur dengan pencapaiannya terutama apabila dapat memenangi pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, April lalu.

Mana tidaknya kejayaan itu sekali gus membuka jalan untuk Sofyank bertemu idolanya, Zach King yang juga pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan apa dicapai terutama apabila menang dalam pertandingan di luar negara anjuran Zach King dan jumpa idola saya itu di LA buat kali kedua selepas pertemuan pertama kami di Indonesia pada 2019.

"Secara peribadi, ia kejayaan yang manis buat saya, malah saya teruja dan terharu juga dengan sokongan rakyat Malaysia hingga dapat rasakan mereka ada di sana bersama saya.

"Saya hargai sangat sokongan pengikut kerana mereka yang bantu naikkan jumlah tontonan video sehingga saya diiktiraf orang luar.

"Jadi, kejayaan saya itu adalah kemenangan bersama kita semua rakyat Malaysia dan terima kasih sangat kerana bantu letak saya di mata orang luar," katanya ketika dihubungi Metro Ahad, baru-baru ini.

Di sebalik kejayaan dikecapi, Sofyank berkata, keluarga dan rakan yang menjadi tulang belakangnya untuk sampai ke tahap sekarang.

"Syukur keluarga dan isteri banyak beri sokongan serta galakan buat saya. Tetapi antara individu menjadi tulang belakang saya adalah ibu bapa saudara yang saya panggil Ayah Su dan Cik Su.

"Ia kerana saya asal dari Kelantan, tetapi mereka bawa saya ke Kuala Lumpur dan jaga saya termasuk macam mana nak berbelanja di ibu kota.

"Tak dilupakan dua sahabat juga rakan sepasukan saya, Addeel Abu Bakar dan Shafiq Nasruddin yang banyak beri idea untuk bantu saya menghasilkan karya," katanya.

Berkongsi mengenai azam tahun baharu dan perancangannya tahun depan, Sofyank berkata, dia menyimpan impian untuk mempunyai studio fizikal sendiri bagi membolehkannya menghasilkan video sama ada iklan mahupun filem bermutu bersama pasukannya.

Menurutnya, buat masa ini, dia belum ada lokasi tertentu disasarkan untuk studio berkenaan dan terbuka menerima tawaran daripada pihak yang sudi bekerjasama bagi merealisasikan impiannya itu.

"Saya akui karya saya awalnya dulu dikenali kerana ibarat tiru idea Zach King, tetapi sebenarnya saya tiru untuk cabar diri dan tak salahkan mereka yang kata saya tiru.

"Ia kerana segelintir mereka yang kata begitu akhirnya terima kerana Zach King pun terima, jadi mengapa perlu kecam?

"Matlamat saya adalah hasilkan karya tempatan yang boleh mendapat perhatian luar walaupun saya akui di Malaysia ini, ramai jauh lebih baik daripada saya cuma tidak tonjolkan diri.

"Di luar negara sama, ramai pencipta kandungan yang hasilkan karya 'gempak' dan kalau boleh saya nak sampai tahap begitu," katanya.

Sofyank mula mendapat perhatian selepas menerima jemputan untuk bertemu Zach King di Jakarta, Indonesia pada 2019.

Sejak itu, dia terus berkarya malah sudah beberapa kali berkolaborasi dengan selebriti antarabangsa antaranya pelakon Australia, Chris Hemsworth serta pengarah dan pelakon koordinator lagak ngeri, Sam Hargrave.

Bakat dan kejayaannya mengharumkan nama di persada antarabangsa turut mendapat pujian dan penghargan ramai termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 8:00 AM