NORFARRAH Syahirah mengikat tali pertunangan dengan lelaki dikenali Zul. Gambar kanan Norfarrah Syahirah bersama bakal ibu mentuanya. FOTO Ihsan Norfarrah Syahirah Shaari
NORFARRAH Syahirah mengikat tali pertunangan dengan lelaki dikenali Zul. Gambar kanan Norfarrah Syahirah bersama bakal ibu mentuanya. FOTO Ihsan Norfarrah Syahirah Shaari
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Orang Kurang Upaya (OKU) Norfarrah Syahirah Shaari, yang kudung kedua belah tangan sejak lahir dan pernah tular sebelum ini mengikat tali pertunangan dengan lelaki dikenali Zul.

Norfarrah Syahirah, 34, berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik gambar pertunangannya di Instagram (IG) dan video dekat TikTok semalam.

Menerusi gambar dimuat naik, Norfarrah Syahirah dan pasangan dilihat duduk di atas pelamin, menggayakan persalinan berwarna hijau dengan kapsyen 'one step closer' (selangkah lagi).

Dalam hantaran berasingan, Norfarrah Syahirah memuat naik gambar dipercayai dengan bakal ibu mentuanya yang memakaikan gelang kaki menerusi kapsyen 'Alhamdulillah..selesai majlis pertunangan'.

Perkongsian Norfarrah Syahirah menarik perhatian pengikut dengan rata-rata pengikut mengucapkan tahniah dan gembira dengan berita pertunangan itu.

"Alhamdulilah..tahniah…semoga di permudahkan perjalanan menuju alam

perkahwinan," tulis pengikutnya @norziansauji.

"Cantiknyaa sis……Tahniah sis..doakan saya insan yang bergelar OKU

bertemu jodoh jua. Selamat bertunang," tulis abdhamid_hafizah.

Pada 2019, Harian Metro melaporkan kisah Norfarrah Syahirah yang menggunakan kaki untuk melakukan kerja harian termasuk memandu ke tempat kerja serta lain-lain destinasi.

Keupayaan Norfarrah Syahirah itu mendapat perhatian netizen kerana membuktikan status sebagai OKU bukan penghalang untuk berdikari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 9:28 PM