TANGKAP layar babak dilakonkan Sofyank bersama Chris Hamsworth dan  Sam Hargrave. FOTO Tangkap Layar FB Sofyank
TANGKAP layar babak dilakonkan Sofyank bersama Chris Hamsworth dan Sam Hargrave. FOTO Tangkap Layar FB Sofyank
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pencipta kandungan digital VFX atau kesan visual, Mohamad Sofian Abdullah yang lebih dikenali sebagai Sofyank, terus melebarkan sayap di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama dengan pelakon Australia, Chris Hemsworth dan pengarah, pelakon koordinator lagak ngeri, Sam Hargrave.

Sofyank, 27, berkongsi buah tangan terbarunya itu dengan pengikutnya menerusi hantaran video dimuat naik di Facebook (FB) semalam.

Menerusi video dimuat naik, kelihatan Sofyank melakonkan babak bersama dua pelakon berkenaan dalam kereta api.

"Alhamdulillah pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa 'shooting' (penggambaran) bersama Chris Hemsworth dan Sam Hargrave.

"Harap awak semua terhibur dengan video ini. Terima kasih," tulisnya.

Perkongsiannya itu mendapat reaksi positif daripada pengikutnya yang berbangga dengan hasil karya pemuda kelahiran Kelantan itu.

"Wah! Mantap hebatlah Sofyank.Bakal menjadi pengarah terhebat nanti," tulis pengguna FB, Suhaimi Mie.

"Dahsyat, teruskan kerja yang hebat. Terus tingkatkan lagi kemahiran ke aras lebih tinggi," tulis Shue Aina.

Pertengahan bulan lalu, Sofyank mengumumkan perkembangannya yang akan tampil dengan video silap mata terbaru menyaksikan kerjasamanya dengan Anthony Ramos, pelakon utama filem 'Transformers: Rise of the Beast'.

Menurut Sofyank, penggambaran video itu dijalankan di Singapura.

Sofyank mula mendapat perhatian selepas menerima jemputan untuk bertemu idolanya, pereka kandungan digital terkenal dunia Zach King di Jakarta, Indonesia pada 2019.

Sejak itu, Sofyank semakin dikenali dan sering mendapat pujian setiap kali berkongsi hasil kreativitinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 3:43 PM