MOHAMAD Sofian (kiri) bersama Zach King. FOTO Ihsan Twitter Mohamad Sofian Abdullah.
MOHAMAD Sofian (kiri) bersama Zach King. FOTO Ihsan Twitter Mohamad Sofian Abdullah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pereka kandungan digital Sofyank, atau Mohamad Sofian Abdullah, yang menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Beliau berkata pencapaian anak muda itu adalah satu kejayaan yang membanggakan negara di persada antarabangsa dan harus diteruskan.

"Tahniah saudara @sofyank96! Pastinya daya kreatif mesti dicambah dan digalak terus. Pencapaian saudara Sofyan ternyata satu kejayaan yang membanggakan negara di persada antarabangsa!" katanya menerusi ciapan di akaun Twitter hari ini.

Sofyank, yang terkenal dengan bakat mencipta kandungan digital VFX atau kesan visual, telah beberapa kali berkolaborasi dengan selebriti antarabangsa malah sehingga kini, video ciptaan beliau ditonton oleh jutaan pelayar media sosial.

Pemuda berusia 27 tahun itu, yang menyertai pertandingan anjuran pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital terkemuka antarabangsa Zach King dan bersaing dengan dua lagi peserta, telah diberikan beberapa cabaran dan perlu menyiapkan satu karya pendek VFX.

Video pertandingan itu 'Is This The Next Zach King?' boleh ditonton di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 11:26 PM