Zach King bersama Mohamad Sofian. FOTO Ihsan Mohamad Sofian
Zach King bersama Mohamad Sofian. FOTO Ihsan Mohamad Sofian
Suraya Roslan


SEORANG lelaki dari Kelantan tidak menyangka menerima jemputan untuk bertemu idolanya, pereka kandungan digital terkenal dunia Zach King, di Jakarta, Indonesia minggu lalu.

Zach King seorang personaliti YouTube dan terkenal dalam menghasilkan video suntingan unik dan kreatif sehingga tontonan lebih satu juta, melalui satu videonya.

Bagi Mohamad Sofian Abdullah, 23, dia tidak menyangka idolanya, Zach King mahu bertemunya dan menaja penginapan serta pengangkutannya di Indonesia.

“Sukar untuk menggambarkan perasaan saya, dia layan saya seperti rakan dan bukan peminat. Sebaik tiba di sana, saya mahu mendaftar masuk ke sebuah hotel yang sudah ditempah, namun Zach menghubungi saya mengatakan dia sudah menempah hotel yang sama dengannya untuk saya.

“Malah, kami boleh menaiki kereta bersama-sama dengannya dan dia melayan saya seperti rakan sendiri tanpa memikirkan statusnya yang begitu popular. Dia memang seorang rakan yang baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sepanjang berada di sana, mereka bertukar idea dan kemahiran.

“Zach memberitahu pasukannya sering melihat video saya, dan ada beberapa teknik yang saya ajar mereka mengenai video suntingan unik.

“Malah, Zach agak terkejut sebaik mengetahui saya mempelajari suntingan video melalui YouTube saja, dengan latar belakang pendidikan dalam jurusan perakaunan,” katanya yang sudah menghasilkan 200 video unik sejak 2015.

Menurutnya, Zach turut menjemputnya ke Los Angeles untuk melawat studio mereka.

“Saya begitu teruja dan berharap dapat ke sana untuk menimba lebih banyak ilmu suntingan dengan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Zach yang mengirim mesej melalui akaun Twitter kepada Mohamad Sofian menggunakan akaun Sofyank96 bertanyakan dia berasal dari negara mana.

“Saya tidak pasti jika awak dari Indonesia, sebabnya esok saya pergi sana dan kalau awak ada di Jakarta, saya dengan senang hati mahu bertemu awak.”

Terkejut menerima mesej itu, Sofian yang memuat naik paparan skrin mesej Zach, memberitahu beliau berasal dari Malaysia dan berharap dapat bertemu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 7:34 PM