KHAIRY Jamaluddin.
KHAIRY Jamaluddin.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan cacar monyet ke negara ini, antaranya dengan pengesanan serta notifikasi kes menerusi MySejahtera.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya turut membuat pengambilan sampel, siasatan dan pengurusan kontak rapat serta pemantauan di pintu masuk antarabangsa seperti di lapangan terbang.

"Bermula 27 Mei lalu, KKM sudah menambah baik MySejahtera iaitu meletakkan 'health alert' berkaitan cacar monyet dalam aplikasi berkenaan.

"Selepas pengembara isi borang Pra-pelepasan dalam aplikasi MySejahtera, mereka yang tiba di negara endemik atau negara yang melaporkan kes cacar monyet akan menerima 'alert' sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri sekiranya terdapat sebarang gejala," katanya menerusi video dimuat naik di media sosial, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan individu yang melancong ke negara yang sudah mempunyai jangkitan cacar monyet atau monkey pox untuk sentiasa berwaspada dan tidak melakukan aktiviti yang berisiko dijangkiti wabak itu.

"Jika bergejala dapatkan rawatan segera," katanya.

Antara negara endemik cacar monyet yang melaporkan kes pada 15 Disember hingga Mei lalu ialah Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo dan Nigeria.

Negara bukan endemik namun sudah melaporkan kes ialah Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden, United Kingdom, Amerika Syarikat dan terbaharu di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 1:06 PM