INDIVIDU dijangkiti cacar monyet. FOTO fail AFP
INDIVIDU dijangkiti cacar monyet. FOTO fail AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan risiko jangkitan cacar monyet wujud di negara bukan endemik dengan lebih 1,000 kes disahkan di negara berkenaan.

Ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi kesihatan PBB tidak mengesyorkan vaksinasi besar-besaran terhadap virus itu, dan menambah tiada kematian dilaporkan setakat ini daripada wabak itu.

"Risiko cacar monyet wujud di negara bukan endemik adalah nyata," kata Tedros pada sidang akhbar.

Penyakit zoonotik itu endemik pada manusia di sembilan negara Afrika tetapi wabak dilaporkan pada bulan lalu di beberapa negara lain yang kebanyakannya di Eropah terutamanya di United Kingdom, Sepanyol dan Portugal.

"Lebih 1,000 kes cacar monyet disahkan kini dilaporkan kepada WHO dari 29 negara yang bukan endemik bagi penyakit itu.

"Setakat ini, tiada kematian dilaporkan di negara-negara ini. Kes dilaporkan terutamanya bukan sahaja dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

"Sesetengah negara kini mula melaporkan kes penularan komuniti yang jelas termasuk beberapa kes pada wanita," kata Tedros.

Katanya, Greece menjadi negara terbaharu mengesahkan kes pertama penyakit itu, dengan pihak berkuasa kesihatan di sana mengatakan ia membabitkan seorang lelaki yang pergi ke Portugal dan berada di hospital dalam keadaan stabil.

Gejala awal cacar monyet termasuk demam panas, nodus limfa bengkak dan ruam seperti cacar air yang melepuh.

Tedros berkata, beliau amat prihatin terhadap risiko yang ditimbulkan virus kepada kumpulan yang terdedah termasuk wanita hamil dan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 10:07 AM