Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan jangkitan cacar monyet ke negara ini walaupun tiada kes setakat ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, garis panduan bagi pengurusan kes itu merangkumi tatacara pengesanan dan notifikasi kes, pengambilan sampel bagi ujian makmal, siasatan dan pengurusan kes serta kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan dan Pemantauan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara.

Katanya, ia termasuk pengumuman di penerbangan ketika pelepasan dan ketibaan berkaitan cacar monyet serta rujukan kendiri atau kru kapal jika pengembara didapati bergejala.

"Kita maklumkan apakah gejala yang perlu mereka pantau dan keperluan pemantauan kesihatan diri selama 21 hari bagi pengembara dari negara berisiko.

"Kita akan keluarkan satu notis kepada mereka dalam MySejahtera untuk pengembara dari negara berisiko bagi pemantauan kesihatan kendiri selama 21 hari.

"Kita sudah maklumkan pegawai imigresen mengenai tanda lepuh ini supaya jika mereka kesan ada pengembara mempunyai lepuh terbabit boleh rujuk kepada pasukan kesihatan di PMA," katanya pada sidang media hari ini.

KHAIRY. FOTO Bernama
KHAIRY. FOTO Bernama

Beliau berkata, KKM juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Jabatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkenaan dengan survelan haiwan import.

Katanya, ia perlu kerana cacar monyet bukan hanya dibawa oleh manusia malah haiwan dan kerana itu, survelan sedia ada perlu ditingkatkan.

"Ciri baru mula digunakan MySejahtera esok dengan pengembara dari negara endemik cacar monyet dan negara bukan endemik yang kes sudah dikesan tidak dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) tetapi akan ada pop up amaran.

"Kenapa 21 hari, kerana tempoh inkubasi untuk cacar monyet adalah selama 21 hari," katanya.

Beliau berkata, hospital di negara ini berada dalam keadaan siap sedia menerima kes yang disyaki cacar monyet untuk isolasi dalam tempoh kebolehjangkitan dan rawatan sekiranya perlu.

Ditanya mengenai apakah vaksin bagi cacar monyet mencukupi, beliau berkata, negara mempunyai stok penimbal yang strategik untuk keadaan seperti ini.

"Kita bersedia," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini kerajaan juga tidak merancang untuk mengadakan program imunisasi secara massa bagi cacar monyet dan jika perlu pun, ia hanya kepada mereka yang mempunyai kontak rapat dan pekerja kesihatan yang merawat mereka.

"Buat masa ini ia (cacar monyet) bukan sampai ke tahap imunisasi secara massa. Ia bersasar sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 7:13 PM