Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: Jurulatih wushu yang juga bekas atlet negara tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

Gjeblehim Bong Teck Fuu, 31, membuat pengakuan itu terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Aima Naziha Wan Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 13 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar Februari lalu di sebuah rumah di Taman Kajang Mewah, Kajang, Selangor.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Liu dan Vam Shir Mooi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, jurulatih wushu berusia 31 tahun ditahan selepas dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet di bawah kendaliannya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 9 hingga 11 Februari lalu di rumah jurulatih terbabit.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur turut mengesahkan suspek disyaki terbabit tiga kes sama, termasuk dua dilapor di Kuala Lumpur.

Jurulatih wushu dibawa keluar oleh anggota polis selepas ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan gangguan seksual (cabul) terhadap pelajarnya berusia 13 tahun pada pendakwaan di Mahkamah Sesyen Putrajaya, Putrajaya. FOTO
Jurulatih wushu dibawa keluar oleh anggota polis selepas ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan gangguan seksual (cabul) terhadap pelajarnya berusia 13 tahun pada pendakwaan di Mahkamah Sesyen Putrajaya, Putrajaya. FOTO

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 1:39 PM