Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Wanita warga emas maut akibat melecur hampir 70 peratus pada anggota badan dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat sewanya di Jalan Hang Kasturi, Jonker Walk di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa ditemukan di tingkat atas unit rumah kedai yang didiami sejak lebih 70 tahun dulu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa yang maut dikenali sebagai Koo Kim Foong.

Menurutnya, hasil temubual dengan anak mangsa difahamkan wanita itu tinggal seorang diri di rumah kedai terbabit yang disewakan kepada keluarganya.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan daripada Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) pada 9.35 malam sebelum pasukan bomba tiba lapan minit kemudian.

ANGGOTAA polis mengangkat mayat mangsa kebakaran rumah kedai di Jonker Walk.- FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
ANGGOTAA polis mengangkat mayat mangsa kebakaran rumah kedai di Jonker Walk.- FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

"Mengikut saksi yang juga anak mangsa, ibunya berusia 75 tahun tinggal sendirian di bangunan itu.

"Selepas 30 minit api dipadamkan, pasukan bomba menemui mayat mangsa di tingkat atas rumah kedai terbabit dan pemeriksaan mendapati mangsa melecur antara 60 hingga 70 peratus di bahagian paha dan perut," katanya.

Raiz Mukhliz berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan kematian mengejut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan oleh unit Forensik Bomba bagi mengetahui punca kebakaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon I Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Melaka, Mohd Khairul Nizam Mohd Anuar memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan Padang Temu dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran dapat dikawal dalam masa 20 minit dan padam sepenuhnya pada 9.42 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 1:38 AM