Meor Riduwan Meor Ahmad

Jasin: Sekolah Kebangsaan (SK) Chenderah, di sini, dilanda banjir lumpur petang semalam susulan hujan lebat hampir dua jam.

Kejadian berpunca daripada limpahan air hujan dari kawasan taman perumahan dan jalan raya memasuki ke pekarangan sekolah.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati aliran air deras membawa lumpur hingga memenuhi lantai di dewan sekolah, kedai buku, bilik isolasi, kantin dan tandas di tingkat bawah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Karim Tumin berkata, bangunan bilik darjah prasekolah turut dilanda banjir lumpur menyebabkan beberapa peralatan rosak.

Beliau berkata, sebahagian tembok pagar sekolah dan substation Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang baru dibina tahun lalu turut runtuh.

"Taman di depan sekolah lebih tinggi, jadi apabila kadar air hujan lebih daripada biasa menyebabkan limpahan masuk ke pekarangan sekolah.

"Jika boleh dilakukan pembaikan seperti longkang diperbesarkan mungkin dapat tampung aliran air hujan supaya tidak masuk ke sekolah.

"Ini kali pertama sekolah ini dilanda banjir kilat pada tahun ini, tahun lalu berlaku juga masalah sama, tapi kali ini lebih teruk," katanya ketika meninjau kesan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Chenderah pagi tadi.

ANGGOTA bomba membersihkan dewan SK Chenderah yang dilanda banjir lumpur. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
ANGGOTA bomba membersihkan dewan SK Chenderah yang dilanda banjir lumpur. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid JPN Melaka merangkap Setiausaha Kerja Jawatankuasa Bencana, Azmi Osman dan Guru Besar SK Chenderah, Saidi Sulaiman.

Karim berkata, pihaknya memohon kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan kemudahan sedia ada termasuk longkang di luar sekolah bagi mengelak kejadian banjir lumpur berulang pada masa depan.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kerja-kerja pembersihan di sekolah.

"Insya-Allah sebelum sesi persekolahan dibuka kita dapat pulihkan keadaan ini," katanya.

Sementara itu, Saidi berkata, seramai 10 guru dibantu anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin serta sukarelawan Jabatan Amal Malaysia bergotong-royong membersihkan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 6:30 PM