RAKAMAN gambar yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN gambar yang tular di media sosial. FOTO tular
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah memantau stesen minyak di pantai timur negeri ini selepas tular rakaman gambar petrol RON95 dan diesel dibeli menggunakan gelen yang diangkut dengan kereta sorong.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan KPDNHEP hari ini berkata, agensi berkenaan sedia maklum dengan situasi itu khususnya di Semporna.

Katanya, hasil pemantauan mendapati tiga faktor utama yang menyumbang kepada aktiviti pembelian minyak petrol dan diesel dalam gelen berkenaan.

"Faktor pertama adalah untuk kegunaan nelayan tempatan dan faktor kedua pula untuk kegunaan bot penambang yang beroperasi ke pulau-pulau sekitar daerah berkenaan.

"Faktor ketiga pula adalah untuk kegiatan bot pelancong bagi menjalankan aktiviti pelancongan berikutan pembukaan aktiviti perniagaan pelancongan pada masa kini," katanya, hari ini.

Menurutnya, pemilik bot pelancongan mendapatkan kebenaran melalui Permit Khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP untuk membeli petrol RON95 dan diesel itu

"KPDNHEP Cawangan Semporna mengambil inisiatif dengan mengesyorkan kepada nelayan, pemilik bot penambang serta bot pelancong mengisi minyak di sebuah stesen minyak berlesen.

"Stesen minyak berkenaan terletak di Kampung Selamat, Semporna memandangkan kedudukan stesen ini terletak di tepi laut," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 7:33 PM