GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan bekalan bahan api petrol dan diesel sentiasa mencukupi untuk jualan harian di seluruh negara.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, berikutan itu, pihaknya menafikan dakwaan kemungkinan pengguna berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel menjelang 1 Januari depan seperti disiarkan media, baru-baru ini.

Menurutnya, bahan api petrol dan diesel diwartakan sebagai barang kawalan berjadual mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975.

“Justeru, kerajaan akan memastikan pembekalan barang berjadual berkenaan sentiasa ada di pasaran dan mudah diperoleh oleh pengguna pada setiap masa.

“Sehubungan itu, sebagai pemegang lesen runcit petrol dan bahan api diesel di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha stesen diwajibkan mematuhi syarat dalam lesen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA), Datuk Abu Samah Bachik dipetik sebagai berkata, pengguna dikhuatiri berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari ini.

Beliau dilaporkan berkata, ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dilaporkan berkata, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari.

Dalam pada itu, Jamil berkata, syarat yang perlu dipatuhi itu ialah pemegang lesen bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan bahan api diesel di premis yang dilesenkan sentiasa ada dan cukup untuk jualan harian.

Menurutnya, pemegang lesen tidak dibenarkan menutup stesen petrol dan diesel atau memberhentikan penjualan petrol dan diesel di stesennya tanpa kebenaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kegagalan pengusaha stesen mematuhi arahan itu atau sebarang syarat terkandung dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974 iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan membuat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas stesen menjual bahan api berkenaan bagi memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi untuk kegunaan orang ramai.

“Sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan berkenaan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 5:58 PM