HOONG Fong menunjukkan gambar suspek yang sedang diburu. FOTO Ruwaida Md Zain
HOONG Fong menunjukkan gambar suspek yang sedang diburu. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Klang: Lelaki yang memotong jari sendiri seperti tular di media sosial baru-baru ini dicabar berbuat demikian bagi membuktikan dia tidak terbabit dengan kematian teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis mendapati satu video berdurasi 7 minit 39 saat memaparkan lelaki Cina memaksa seorang lagi lelaki untuk memotong jari sendiri dan memukulnya menggunakan rantai besi, petang semalam.

Katanya, siasatan mendapati kejadian terbabit berlaku 8.30 malam di Taman Chi Liung, 13 November tahun lalu.

Mangsa, 36, adalah pekerja perkhidmatan keranda yang hilang satu jari kelingking sebelah kiri selepas pertengkaran dengan suspek berusia 49 tahun ketika kejadian itu.

"Polis menerima laporan daripada mangsa, 1.04 pagi tadi. Mangsa memberitahu berlaku pertengkaran mulut dengan suspek dan suspek menampar mangsa sebanyak dua kali dan mencabar mangsa untuk memotong jarinya jika mangsa tidak mempunyai apa-apa kaitan tentang kematian teman wanita mangsa yang juga rakan wanita kepada suspek.

"Bagi membuktikan kebenarannya, mangsa mengambil sebilah pisau dan memotong jari kelingking sebelah kiri.

"Selepas itu, mangsa pengsan dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Mangsa tidak membuat laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku ketika itu," katanya.

Hoong Fong berkata, mangsa juga memberitahu dipukul oleh suspek menggunakan rantai besi di belakang badan, kepala, tangan kiri dan kakinya, dalam kejadian berasingan.

"Semasa kedua-dua kejadian ini, suspek membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit suspek.

"(Pembabitan kongsi gelap) masih dalam siasatan.

"Usaha mengesan suspek yang dikenali sebagai Chong Guang Ming giat dijalankan dan orang ramai boleh membantunya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222.

Susulan daripada itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata.

"Berkaitan video yang tular, siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menerbitkan video dalam sosial media dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum untuk melakukan sesuatu kesalahan," katanya.

Hoong Fong turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi, atau berterusan menyebarkan video itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 6:09 PM