IDRIS Ahmad ketika ditemui media, hari ini. FOTO Bernama.
IDRIS Ahmad ketika ditemui media, hari ini. FOTO Bernama.
Samadi Ahmad


Bangi: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak bercadang membawa masuk pemberi maklumat yang mendedahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal di loji sembelihan di Australia ke Malaysia untuk siasatan, mahupun perlindungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan juga tiada hak ke atas individu dikenali sebagai 'The Hood Man' (Abdullah) itu memandangkan dia bukan warga negara, selain masih gagal dikesan hingga kini.

Katanya, selepas memberi maklumat kepada atase Jakim Malaysia di Australia, individu berkenaan tidak dapat dihubungi dan beliau berharap Abdullah dapat tampil memberi kerjasama bagi melengkapkan siasatan.

"Siasatan masih berjalan dan kita akan kumpul sebanyak mana bukti dan maklumat," katanya pada sidang media selepas Program Liqa' Mahabbah Sekretariat Dakwah Korporat Jakim dan Sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Datuk Selamat Paigo.

Media sebelum ini melaporkan pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mengenai perlanggaran SOP penyembelihan halal oleh TFI yang mendapat kelulusan daripada Jakim.

Idris turut berkata, hukum agama menetapkan perkara yang tidak diketahui bukan menjadi tanggungjawab buat seseorang tetapi, apa yang penting umat Islam mengetahui ada sijil halal dipamerkan pada sesuatu barangan, kecuali jika nampak sendiri dengan jelas bahawa perbuatan itu tidak halal.

Katanya, setakat ini kita dapati TFI sudah mengeksport daging sebanyak 18 peratus ke Malaysia dan ia boleh dikesan pihak berkuasa melalui sistem kod yang diletakkan pada daging berkenaan.

"Kita berharap daging itu tidak sampai kepada pengguna sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 6:49 PM