Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Kerajaan masih berusaha menjejaki 'The Hood Man' atau Abdullah bagi membantu siasatan berkaitan isu loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia yang didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya masih menunggu maklumat rasmi berkaitan isu itu dan bersedia mendapatkan apa sahaja maklumat dalam bentuk data serta fakta.

Menurutnya, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat rasmi mengenai keberadaan lelaki terbabit.

"Belum dapat maklumat lagi (tetapi) kemungkinan sudah dihubungi (atau) mungkin kadang-kadang dia nak dirahsiakan.

"Saya sudah menghubungi setiausaha PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) (dan maklumkan) saya nak nama pelapor supaya pelapor itu hubungi saya dan siapa-siapa yang terbabit kita akan ambil tindakan.

"Kita sedang menunggu maklumat daripada PPIM atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan isu ini. Sesiapa yang ada maklumat, tolong maklumkan (kepada kita) tetapi kita tak nak dalam bentuk khabar angin, biarlah dalam bentuk fakta dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di Perkampungan Darul Barakah di sini, hari ini.

Idris berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

"Seperti yang saya sebut berkali-kali, kita tidak akan berkompromi (dan) sebab itu bila dapat maklumat, kita terus hentikan loji (sembelihan) sehingga siasatan selesai," katanya.

Media sebelum ini melaporkan PPIM bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mendedahkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh loji sembelihan TFI Lobethal, Australia yang mendapat kelulusan dari badan induk halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketika ini, Jakim sudah menggantung kelulusan loji sembelihan TFI Lobethal, Australia berkuat kuasa serta merta sehingga hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Idris (tiga kanan) bersalaman dengan pelatih Perkampungan Darul Barakah, Marang pada Majlis Perasmian Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022. FOTO GHAZALI KORI
Idris (tiga kanan) bersalaman dengan pelatih Perkampungan Darul Barakah, Marang pada Majlis Perasmian Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 4:17 PM