Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan hasil audit mengejut dijalankan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (Sichma), yang mendapati loji sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia, melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, Sichma selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan, mengesahkan perkara itu selepas badan terbabit menjalankan audit mengejut di TFI pada 23 Mei lalu.

"Sebelum perkara itu disahkan Sichma, kita terdahulu pada 13 Mei lalu sudah pun membatalkan (pensijilan) dan menghentikan (pengambilan daging sembelihan dari) loji penyembelihan terbabit.

"Sebaik sahaja disahkan hari ini, semua produk keluaran dari loji itu kita tidak lagi akan terima atau dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

"Berhubung dengan produk dari loji yang masih berada di pasaran, kita serah sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media selepas Program Hari Raya Asnaf QSR-SPE di sini, hari ini.

Menurutnya, berhubung perkara itu Jakim akan menghantar pasukan melakukan pengesahan audit halal di Sichma dan loji penyembelihan berkaitan yang membekalkan bekalan daging ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini.

IDRIS. FOTO Arkib NSTP
IDRIS. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 6:47 PM