GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail


POLIS sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan seorang murid tahun enam hampir diculik seorang lelaki di hadapan sebuah sekolah rendah di Tanjung Mas di Kota Bharu pada Sabtu lalu.

Murid lelaki berkenaan dikatakan berada bersama dua rakannya di luar kawasan sekolahnya ketika kejadian kira-kira 11 pagi itu.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa dikatakan secara tiba-tiba dipegang dan dipeluk seorang lelaki sebelum dia ternampak van putih menghampirinya.

Bagaimanapun, murid berkenaan berjaya melepaskan diri sebelum melarikan diri masuk ke dalam sekolah dan memaklumkan kejadian itu kepada gurunya.

Terdahulu, laporan polis berhubung kejadian cubaan culik itu tular di Facebook sejak pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

“Saya mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu daripada guru sekolah terbabit pada 1.25 tengah hari semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan culik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:34 PM